Saturday, 29 October 2011

STRES? Tanganinya dengan baik..

Sebaik-baik cara untuk menangani stres ..
 Membaca al-Quran, di samping memahami maknanya. Al-Quran adalah rahmat untuk sekelian alam dan ia adalah cahaya, hidayah dan penyembuh bagi penyakit. Dengan memahami dan menghayati kandungan al-Quran seseorang dapat menenangkan hati, fikiran dan jasmani.
 Banyak bertaubat dan istighfar. Bertafakur mengenang dosa, merenung mengenai diri terhadap segala nikmat yang Allah berikan kepada kita.
 Mendekatkan diri kepada Allah, mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Contohnya tidak meninggalkan solat wajib, malah turut melakukan solat sunat dan selalu mengingati Allah dalam setiap ketika.
 Bersedekah. Harta menyebabkan jiwa tertekan dan memberi sedekah itu kerana Allah dapat memberikan ketenangan. Sedekah lebih bermakna ketika seseorang itu berasa sangat sayang (bakhil) terhadap hartanya. Orang yang bakhil sentiasa disempitkan hati dan akhlaknya oleh Allah kerna mereka berkira dengan kurniaan Allah.
 Bijak mengurus. Seseorang itu harus bijak dalam menguruskan masa, tenaga, keutamaan dan aset yang ada. Bahkan Allah mengingatkan kita mengenai beban kerja dan tanggungjawab itu perlulah sepadan dengan kemampuan kita, Kita diajar supaya berdoa daripada kerja berlebihan yang tidak mampu ditanggung.
 Bersangka baik kepada Allah. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Kesulitan itu akan disusuli dengan kebahagiaan. Kita hendaklah berbicara dan berkata dengan positif serta penuh pengharapan kepada Allah. Ini kerana setiap lafaz diucapkan itu adalah doa dan sangkaan kita kepada Allah.
 Tawakal, iaitu berserah diri kepada Allah. Menyerah sesuatu perkara itu kepada Allah selepas berusaha sedaya upaya adalah sikap yang sangat baik. Seseorang itu harus menyedari Allah yang mengurniakan rezeki, kekuatan, keinginan dan badan yang sihat bagi hamba-Nya berusaha meneruskan hidup di dunia ini.

Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. 

(Surah Al-Baqarah:214)

3 comments: