Wednesday, 28 March 2012

TEKNOLOGI, INTERNET DAN BELIA



BERITA HARIAN, 27 MAC 2012

TEKNOLOGI, INTERNET DAN BELIA

Istilah teknologi boleh ditakrifkan sebagai pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk  menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian. Namun teknologi bukan hanya terhad pada peralatan semata-mata, malah turut memberi makna pada perkembangan minda dan perubahan sikap manusia dari sesuatu tahap ke tahap yang lebih baik. Dengan adanya teknologi, masyarakat terutamanya golongan belia didedahkan dengan pelbagai kemudahan sehinggakan segalanya digambarkan hanya berada dihujung jari sahaja.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, di kalangan 1,936 orang generasi muda berumur 15 hingga 26 tahun menunjukkan 58% menyatakan mereka mahir menggunakan internet. Bagi generasi muda masa kini, teknologi bukan sekadar medium penyampai maklumat tetapi menjadi satu keperluan dalam kehidupan mereka.

Namun begitu, masih terdapat segelintir golongan belia yang telah menyalahgunakan kemudahan teknologi masa kini seperti merakam, menonton dan menyebarkan gambar yang berbentuk audio visual atau video yang tidak bermoral. Tindakan yang boleh dikatakan bodoh dan tidak senonoh  ini jelas mengggambarkan sikap masyarakat kita sendiri. Ada juga yang sanggup melihat orang lain menanggung kesedihan dan malu akibat perbuatan mereka yang sanggup menyebarkan fitnah kepada masyarakat.
  
Apakah faedahnya? Adakah hanya untuk berseronok, membalas dendam atau mengaibkan orang?  Permasalahan seperti ini akan sudah pasti akan memberi kesan negatif bukan hanya kepada masyarakat malah kepada negara. Sudah tentu bukan ini yang kita mahukan. Mereka seharusnya menyumbang tenaga serta idea dalam pembangunan dan kemajuan negara, bukannya berlumba-lumba menjatuhkan maruah diri, bangsa dan agama masing-masing.
Setiap perkara dan tindakan disusuli dengan seribu kebaikan dan keburukan. Ramai yang beranggapan bahawa penggunaan teknologi terutamanya internet lebih banyak menimbulkan masalah dan kelalaian kepada belia. Mengapa perlu meletakkan tanggapan yang negatif sebagai asasnya, sedangkan penggunaan teknologi adalah penting untuk membantu mendapatkan maklumat dan informasi dari semua aspek yang dikehendaki di samping meningkatkan ilmu pengetahuan.
Penggunaan laptop, broadband dan perkhidmatan wireless di lokasi-lokasi tertentu  memudahkan kita untuk mengakses maklumat melalui internet tidak kira di mana sahaja berada. Masyarakat bukan hanya sekadar dapat mendengar radio mahupun membaca akhabar atau majalah, malah boleh mendapatkan semua jenis maklumat yang diperlukan melalui internet.
Tanpa teknologi, tidak mungkin kita akan dapat melahirkan golongan belia yang berdaya saing, kreatif dan inovatif dalam apa jua bidang. Mengapa perlu melihat ke arah keburukan sahaja sedangkan kita tahu bagaimana untuk meperoleh seribu kebaikan. Tepuk dada, tanyalah hati. Buka minda, renunglah dan hayati.  Jadilah belia yang mampu berfikir dengan bijak, bukan hanya menjadi kotak kosong yang hanyut mengikuti arus peredaran global semata-mata. Gunakan peluang masa dan nikmat akal fikiran sebaik mungkin !


A.KARTIKA
UPSI

0 0 comment/s here..:

Post a Comment